Jumaat, 18 Julai 2008

Tan Sri Syed Mokhtar

Mula Berniaga
Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan milik bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya penyakit kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil - kecilan.

Beliau dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga bumiputera dan restoren - restoren di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Dalam perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori kelas A. Beliay mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli 2 buah lori Mercedes 911LS.

Seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang untuk baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli 2 buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu.

Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori - lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.

Menubuhkan Syarikat
Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di jalan Telok Wan Jah, Alor Setar di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar.

Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai BERNAS. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA senama, PERNAS Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras.

Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing - masing 32% dan 16%. Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhray Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 julai 1976, di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah, Alor Setar.

Perniagaan terus berkembang
Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komiditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM 250 juta.

Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat ini ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi.

Tan Sri Syed Mohktar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubahsuai menjadi pusat pembungkusan.

Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51% kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor.

Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.

Strategi Tersendiri
Pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekspo Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar - besaran ataupun pukal. Contohnya, menukarkan satu tan minyak sawit dengan satu tan minyak mentah.

Perniagaan Pakaian
Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.

Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Perai.

Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan louis (Amtek Garment Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Perniagaan Perkapalan
Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada tahun USD1 juta.

Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD 600 ribu, iaitu rugi sebanyak USD 400 ribu.

Pada masa yang sama, beliau mula membabitkan diri dalam sektor hartanah. Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.

Penglibatan dalam projek penswastaan
Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM 330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM 135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd. , beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya menyakinkan 2 buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu syarikat usahasama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus. Kini, Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernialai RM 1.67 bilion.


Tiada ulasan: